Alhamdulillah minggu lepas berpeluang menyertai MISG 2014 di Bangunan Canselori UTM. 1 minggu yang sangat padat dan terkejar2. Walau sekadar watak pipih, tak wujud pun program boleh jalan punya, kita pun rasa penat lagi fatigue yang amat. Untuk pengetahuan umum, Mathematics in Industry Study Group ni dah dijalankan di banyak negara antaranya adalah UK, New Zealand, Europe, dan Australia. Konsep study group ni pada kita sangat menarik. Syarikat-syarikat dari pelbagai industri boleh menghantar permasalahan syarikat mereka kepada pihak penganjur untuk cuba diselesaikan oleh pakar-pakar yang menghadiri kumpulan belajar ini dalam masa seminggu. OK memang seminggu sejujurnya tak cukup untuk menyelesaikan sepenuhnya tetapi dalam seminggu ni memang para peserta menghadap dan memikirkan permasalahan yang dicadangkan secara intense bak kata orang melayu, makan tak kenyang, mandi tak basah, tidur tak lena. Cam tu haaaa. MISG kali ni istimewa sikit sebab ada pensyarah yg menyelia kita masa di Portugal dulu datang ke sini. Merasa la jadi PA seminggu. Seminggu ni juga la ada rasa serpihan hidup ahli matematik sikit. Tempias-tempias duduk menempel dengar perbincangan dan perbahasan idea-idea yang difikirkan sesuai lagi bermanfaat dalam menyelesaikan permasalahan. Bagi MISG kedua ni, ada 6 permasalahan yang dicadangkan. 1. Model matematik dan pengoptimuman untuk rawatan berasaskan biologi bagi kolam pengoksidaan. (J-Biotech) 2. Pemerosotan pencemaran sungai dalam akuifer menggunakan teknik penyusupan di tebing sungai (NAHRIM) 3. Pembangunan sistem amaran awal untuk penyakit blasta padi, benah perang, serangga perosak, dan penyakit beras. (MARDI) 4. Pendwicabangan koronari - kesan sten pada aliran darah. (KPJ) 5. Sistem ampaian elektromagnet jana semula bagi sistem kuasa kipas hijau. (PROTON) 6. Rangkaian minimum air dan tenaga yang jimat kos. (PROSPECT) Kita masuk kumpulan PROTON. Seronok sangat dapat belajar benda baru tentang suspension system atau dalam bahasa melayunya sistem ampaian. Bila tengok istilah melayunya macam nak sidai kain pulak rasa :P Buat masa ini, sistem ampaian boleh dibahagikan kepada 3 kategori: 1. Pasif 2. Separa Aktif 3. Aktif Kebanyakan kereta yang berada di pasaran sekarang adalah terdiri daripada sistem ampaian pasif yang berasaskan spring dan peredam (damper). Sistem ini digunapakai secara meluas kerana kestabilannya yang baik akan tetapi sistem ini tidak dapat dikawal pergerakannya. Oleh itu beberapa kereta mewah dari jenama yang terkenal menggunakan elektromagnetik untuk mengawal pergerakan sistem ampaian dan menjadikan sistem ampaian separa aktif. Sekarang orang nak lagi UP dik non oi. Nak main sistem ampaian aktif. Tak main spring, peredam ni semua. Nak pakai susunan magnet yang dikawal dengan input tenaga elektrik bagi menghasilkan dan mengawal medan magnet yang menggantikan tindakan spring dan peredam dalam sistem ampaian sebelumnya. Tetapi kenapa orang belum pernah buat sistem ampaian aktif lagi? Haaa cabaran besar untuk menghasilkan sistem ampaian aktif ialah menyelesaikan masalah ketidakstabilan sistem ini. Pendek cerita selama seminggu terhasillah model matematik bagi sistem ampaian aktif tetapi seperti yang diketahui, adanya ketidakstabilan dalam sistem ni. Apa yang dicadangkan ialah untuk mengawal ketidakstabilan ini kerana sudah tentu mustahil untuk kita menghapuskannya. Berdasarkan Teorem Earnshaw, adalah mustahil untuk mencapai apungan statik menggunakan sebarang penggabungan beberapa magnet kekal dan cas-cas elektrik. Bagi mengatasi kes ini, dicadangkan untuk menyelesaikannya secara praktikal bukan teoretikal iaitu dengan meletakkan susunan magnet-magnet tersebut dalam 1 sarung (sleeve). Seterusnya, bagi mengatasi ketidakstabilan sistem ini sendiri, 1 fungsi pengawal (controller) telah dimasukkan ke dalam model matematik yang dicadangkan. Model tersebut telah diselesaikan dalam kondisi nilai eigen sistem tersebut adalah di sukuan kedua dalam satah kompleks. Dengan memanipulasi nilai dalam fungsi pengawal, dapat dilihat bahawa model ini berjaya bertindak mengatasi ketidak stabilan dan berfungsi sebagai sistem ampaian yang baik. Pada hari terakhir, para pakar mencadangkan pembangunan model matematik yang lebih tepat di masa akan datang dalam bentuk persamaan pembezaan lewat (delay differential equation) bagi mengambil kira masa tindak balas pengesan (sensor) untuk menghantar maklumat ke sistem kereta bagi memberikan input tenaga elektrik yang sesuai ke sistem ampaian aktif. Walau sekadar menempel, kita tumpang gembira dengan percambahan idea dalam kumpulan ni. Sekian saja sesi mencucuk minat kali ni. Bagi yang rasa teringin nak menceduk pengalaman dalam aktiviti MISG ni, insha Allah tahun depan boleh la ikut serta ;) Wassalam ! Muka ketat padahal buat slides je tu :P
0 Comments
|
Wawi
Ahli matematik Kampung Oren Senarai bebelan
January 2016
Kategori bebelan
All
|